Pages

Saturday 20 April 2013

Masalah Dalam Membaca: Faktor Dalaman



MASALAH DALAM MEMBACA






Terdapat pelbagai faktor yang membolehkan seseorang individu khususnya terhadap para pelajar. Antaranya faktor dalaman iaitu:



Faktor Individu:
·         Kemahiran kognitif
Kemahiran kognitif para pelajar juga perlu diambil kira untuk menentukan masalah dalaman pelajar yang sukar untuk membaca kerana walaupun mereka sebaya tetapi setiap pelajar mempunyai kemahiran kognitif yang berbeza-beza. Oleh sebab itu, kegagalan proses pembelajaran untuk mengajar mereka cara membaca juga mempunyai kaitan dengan kemahiran kognitif setiap pelajar tersebut.
·         Cara pembelajaran
Cara pembelajaran antara seorang kanak-kanak dengan seorang remaja juga berbeza. Pemikiran seorang remaja lebih kompleks dan mampu untuk menerima pelbagai ilmu dalam satu-satu masa. Sebaliknya cara pemikiran seorang kanak-kanak adalah lebih terhad dan hanya mampu untuk memahami apa yang dilihat oleh mata kasar mereka sahaja (Suppiah Nachaiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Ahukor, Ramlah Jantan, Roslinda Mustapha, Hazalizah Hamzah, 2009).
·         Tidak dapat memahami semenjak awal lagi
Namun, masalah ketidakbolehan untuk membaca ini timbul apabila seorang pelajar itu tidak dapat memahami apa yang telah diajarkan kepada mereka semenjak mereka kanak-kanak lagi sehingga meningkat dewasa. Hal ini menyebabkan berlaku masalah keciciran dalam pembacaan. Kemahiran kognitif pelajar tersebut yang lemah menjadi punca kepada masalah ini. Oleh itu,masalah ini dapat diatasi jika guru memberi perhatian yang lebih kepada para pelajar yang lemah bagi mengelakkan mereka keciciran dalam pembelajaran mereka .
Faktor psikologi
Faktor genetik, kecacatan fizikal murid, persekitaran dan sebagainya yang mempunyai kecenderungan menimbulkan masalah untuk mempelajari dan mengingati sesuatu yang diajar oleh guru mempengaruhi tahap kecerdasan dan psikologi yang pelbagai dalam kalangan murid. Tahap kesihatan serta gangguan emosi juga sering menjadi punca masalah dalam proses pembelajaran. Murid yang mewarisi tahap kecerdasan yang rendah sering memperlihatkan gangguan emosi seperti bimbang, takut, marah dan berbagai-bagai perasaan lagi yang pastinya menjejaskan tumpuan dan perhatian terhadap proses pembacaan (Zulkifley Hamid, 2006).

·         Minat dan motivasi

Tabiat dan keupayaan membaca dapat dibina melalui minat dan motivasi. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan dapat memberikan seseorang itu motivasi dalam memudahkannya mengalami dan memahami proses pembacaannya.

·         Tidak minat membaca

Salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan pelajar adalah faktor tidak minat membaca. Sikap kurang minat membaca adalah berpunca daripada kegagalan dalam menguasai kemahiran membaca dengan baik.

·         Kurang rangsangan

Masalah kurang rangsangan daripada ibu bapa dan guru juga menyebabkan timbulnya masalah dalam proses membaca. Hal ini kerana kekurangan perhatian daripada ibu bapa dan guru akan menyebabkan pelajar tersebut akan keciciran dalam proses pembacaan.

Mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan.


·         Masalah Dalaman

Masalah dalaman yang dihadapi oleh pelajar dalam proses pembacaan juga berkait dengan masalah mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan kerana peroses pembacaan memerlukan para pelajar untuk mengigati huruf dan bunyi bagi setiap huruf-huruf tersebut. Jika mereka bermasalah untuk mengigati setiap huruf tersebut maka proses pembacaan akan menghadapi masalah seperti membaca merangkak-rangkak dan tersangkut-sangkut.

·         Mengatasi Masalah
Bagi mengatasi masalah pelajaran yang lemah dalam proses pembacaan ini satu proses pemulihan telah dijalankan. Para pelajar yang lemah dalam bacaan akan diasingkan dengan pelajar yang lebih cepat dalam membaca. Rajesvari a/p Ramasamy (2008) beliau telah menyatakan antara permasalahan yang dihadapi oleh pelajar pemulihan ini ialah mudah lupa perkataan yang dibaca. Daya ingatan mereka sangat singkat dan cepat melupakan perkara yang telah dipelajari oleh mereka. Oleh sebab itu, mereka perlu diberi peluang membaca perkataan yang sama berulang kali dalam aktiviti latih tubi. Ramai kanak-kanak pemulihan juga mengalami masalah dalam pengamatan. Mereka kurang mahir mengecam bentuk perkataan yang dibaca. Masalah ini mungkin disebabkan mereka sukar memberi tumpuan atau perhatian.



    Ketidakupayaan untuk mentafsir simbol dan huruf bagi      diterjemahkan dalam ayat atau perkataan secara lisan:
  • ·         Ketidakcekapan menguasai isi pembelajaran
Menurut Abdul Rasid dan Zulkafli (2008), akibat ketidakcekapan mereka menguasai isi pembelajaran yang telah diajar oleh guru masalah menguasai kemahiran membaca dan menulis menjadikan para pelajar lemah dan tidak berminat dalam proses pembelajaran. Permasalahan membaca yang ada dalam diri murid seperti keliru mengecam huruf besar dan huruf kecil semasa membaca, tidak dapat membunyikan perkataan dengan betul dan tepat, tidak dapat menyebut perkataan yang dieja serta sering meninggalkan perkataan yang tidak ketahui makna atau gagal membunyikannya.
  • ·         Masalah ketidakupayaan mentafsir
Masalah ketidakupayaan dalam mentafsir simbol atau huruf bagi diterjemahkan dalam ayat atau perkataan akan menimbulkan pola bacaan yang merangkak-rangkak. Hal ini pastinya menjadikan murid-murid tidak memahami maklumat dan makna bahan bacaan tersebut. Selain daripada itu, murid ini juga lemah dan tidak berminat mencari maklumat yang terdapat dalam gambarajah atau bahan rangsangan yang diberikan oleh guru. Menurut Yahya Othman (2004), membaca merupakan proses interaksi antara teks dengan imaginasi pembaca. Oleh sebab itu, pemahaman para pelajar mengenai teks dan gambarajah yang dilihat oleh mereka mampu untuk menarik minat mereka membaca tetapi jika mereka tidak dapat memahami apa yang dibaca akan menimbulkan rasa bosan untuk terus membaca.


Wednesday 10 April 2013




MASALAH DALAM MEMBACA


1. Jenis Masalah Bacaan

salah satu masalah bacaan dapat dilihat melalui aktiviti bacaan nyaring, dan aktiviti bacaan senyap hanya dapat dilihat melalui aspek bacaan kefahaman.

Masalah bacaan yang dihadapi adalah seperti berikut:

i) membuang atau meninggalkan (omission)

salah satu perkara yang akan terjadi ialah bunyi huruf, perkataan, dan imbuhan ditinggalkan semasa  membaca. Contohnya perkataan ”buah” akan disebut ’uah”, perkataan ”kering” pula akan disebut ”kerin”. Perkataan dalam ayat juga kerap ditinggalkan semasa membaca, seperti;

”Buku itu sangat tebal. ” dibaca sebagai “Buku itu tebal”. Perkataan “sangat” telah ditinggalkan dalam ayat ini.

Manakala meninggalkan imbuhan adalah seperti ”mengandungi” disebut ”mengandung” dan

ii) pengulangan (repetition)

Mengulang-ulang sesebuah perkataan atau suku kata semasa membaca dan perbuatan mengulang ini bukan disebabkan oleh masalah gagap. Hal ini akan menyebabkan berlakunya masalah bacaan.

iii) Gantian (substitute)

Menggantikan huruf atau perkataan dalam ayat yang dibaca, misalnya ”ladang” disebut ”lalang”. Manakala terdapat perkataan yang digantikan dengan perkataan lain sehingga boleh mengubah maksud ayat. Berlakunya penggantian perkataan dalam sesebuah ayat. Hal ini disebabkan sering kali pembaca tertukar abjad dalam sesebuah perkataan. Contohnya huruf “d” dan “p”. Dalam perkataan “dada” kadang-kadang pembaca tertukar dengan membunyikannya sebagai “pada”.

iv) Tambahan (insertion)

Bunyi huruf atau perkataan ditambah semasa membaca, misalnya  “buah” disebut “buwah”.  Ataupun semasa menyebut perkataan “gua” terdapat penambahan perkataan iaitu “guwa” .Manakala penambahan perkataan berlaku seperti “Saya suka makan rojak.” dibaca sebagai ” Saya sangat suka makan rojak.” Terdapat juga berlaku penambahan perkataan seperti “saya mencintai teman lelaki saya” dibacakan sebagai “saya amat mencintai teman lelaki saya”.

v) Pembalikan (reversals)

dalam hal ini apa yang berlaku adalah huruf, perkataan, atau frasa dibaca secara terbalik atau songsang.  Contohnya  ”Bala” disebut ”laba” ataupun seperti perkataan “usus” disebut “susu”. Manakala pembalikan perkataan dalam ayat berlaku apabila perkataan diubah kedudukannya, contoh: ”Dia makan nasi” dibaca sebagai ” Dia nasi makan” ataupun “Dia minum air” disebut sebagai “Dia air minum”. Begitu juga dengan pembalikan frasa.

iv) Tidak kenal huruf

Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama kebanyakan pembaca gagal membaca dengan baik. Keadaan ini pembaca akan menyebut sesuatu huruf sesuka hati atau dengan meneka sahaja dan menjadikan perkataan itu tidak bermakna atau berlainan
makna. Contohnya huruf “b” seringkali ditukarkan dengan huruf “d”.

v) Salah sebutan


Salah sebutan terjadi akibat tidak mengenal huruf atau tidak tahu membunyikan sesuatu huruf sehingga sesuatu perkataan tidak bermakna lagi dalam konteks ayat berkenaan.


Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna perkataan atau ayat yang dibaca dan perlu diberi perhatian untuk mengatasinya.

2. Masalah-masalah dalam Memahami Bahan Bacaan

Selain masalah bacaan nyaring, masalah memahami apa yang dibaca atau pemahaman dalam bahan bacaan juga salah satun masalahnya. Antara masalah dalam kefahaman bacaan adalah:

i) Pertama adalah gagal memahami maksud perkataan dan frasa yang berkaitan dengan 
waktu seperti selepas, sudah, sebelum, pagi, petang, tengahari, malam, siang , sekejap, dan sebagainya.

ii) Kedua adalah tidak memahami maksud perkataan dalam pelbagai situasi, kadang-kadang maksud dalam sesebuah ayat mempunyai maksud tersirat dan tersurat. Misalnya dalam ayat “Panjatlah lagi pokok itu.” yang bermaksud melarang seseorang daripada memanjat pokok. Jika pembaca tidak memahami maksud tersirat dalam ayat tersebut maka mbaca akan memanjat pokok tersebut, tetapi jika pembaca itu memahami maksud tersirat ayat tersebut pembaca tidak akan memanjat pokok tersebut kerana telah dialarang melalui maksud tersirat dalam ayat itu.
iii) Ketiga ialah gagal memahami atau membuat urutan idea atau peristiwa yang terdapat dalam bahan bacaan terutamanya apabila diminta menceritakan semula petikan yang dibaca. Urutan sesebuah cerita dalam bahan bacaan amat penting bagi menceritakan jalan penceritaan dalam sesebuah  cerita itu.

iv) Keempat ialah lambat memberi tindak balas terutamanya apabila tidak memahami arahan yang dibaca. Apabila membaca respon haruslah diberikan sebagai tanda memahami atau tidak memahami bahan bacaan tersebut.

v) Kelima ialah gagal menghubungkan sebab dan akibat dalam bahan bacaan yang dibaca. Segala bahan bacaan mempunyai sebab dan akibat ataupun topik yang dibincangkan dalam bahan bacaan tersebut.

vi) Keenam ialah  tidak dapat mengenal pasti perkara yang tidak munasabah (absurdities) dalam bahan yang dibaca. Dalam sesebuah bahan bacaan itu, jika pembaca tidak dapat mengenal pasti perkara yang tidak munasabah makan akan berlaku satu masalah dalam membaca bahan bacaan tersebut.

vii) Ketujuh ialah tidak dapat mentafsir atau menggunakan carta, graf, peta, rajah, dan sebagainya dalam buku. Bahan bacaan yang telah dibaca haruslah dapat ditafsirkan atau dicerikan dalam pelbagai bentuk untuk menunjukkan pembaca telah memahami bahan bacaan tersebut. Jika pembaca tidak dapat mentafsirkan bahan bacan tersebut, hal ini menunjukkan bahawa pembaca tidak memahami bahan bacaan itu dan menghadapi masalah dalam membaca.

PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Bacaan Sebelum membaca sesebuah bahan bacaan , terdapat beberapa kriteria perlu diambil sebelum memulakan pembacaan tersebut. Tujuan pemilihan bahan bacaan amat penting dan hendaklah sesuai dan boleh diterima oleh beberapa peringkat umur. Setiap bahan bacaan mempunyai kosa kata bahan bacaan yang berbeza. 
           
      Bahan bacaan boleh di bahagikan kepad dua jenis iaitu bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan fiksyen biasanya dibaca semasa ada masa lapang dan bahan ini digolongkan dalam pembacaan ringan.  Manakala bahan bacaan bukan fiksyen merupakan bahan bacaan ilmiah yang mementingkan maklumat terkandung dalam bahan bacaan.

Bahan fiksyen:

Cerita rakyat
Dongeng
Cerpen
Novel
Lagenda


Bahan bacaan bukan fiksyen ialah:

Buku mengenai  falsafah
Ensiklopedia
keagamaan
Sains kemasyarakatan
Bahasa
Sains dan Teknologi
Seni
Sastera
Geografi dan ilmu alam sekitar
Sejarah
Pengetahuan am


            Saban hari, masyarakat kini hanya mementingkan bahan bacaan yang bersifat keseronokan apabila membuat pemilihan bahan bacaan. Hal ini sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh fahaman Hedonisme yang digagaskan oleh Epicurus di mana falsafah hidup bertujuan untuk mencapai suatu keseronokan. Justeru itu, guru-guru hendaklah mengambil berat tentang pemilihan bahan bacaan pelajar.

Bagi kanak-kanak terdapat beberapa tahap umur untuk dilihat dalam pemilihan bahan bacaan iaitu:

1. umur 0-6 tahun (peringkat pra-sekolah)

Kanak-kanak pada peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kreatif dan kritis untuk memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang kenyataan adalah sangat sederhana.
          
       Bahan bacaan atau Buku-buku untuk peringkat umur ini harus mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan dengan dunia sehariannya agar dapat membantu mereka memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya. Selain itu, buku tersebut haarus mempunyai banyak gambar untuk menarik minta mereka untuk membaca.

2. umur 6-8 tahun

Kanak-kanak yang berada pada peringkat umur ini mempunyai sifat ingin tahu dan mereka juga sudah mula mengerti serba sedikit apa-apa yang dibicarakan oleh orang dewasa.  Kanak-kanak selalunya telah bersedia untuk membaca jika tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan dalam buku, akhbar atau kertas.
           
         Pada peringkat ini, mereka mungkin sudah boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar juga masih sesuai untuk mereka kerana gambar-gambar yang terdapat dalam buku boleh memberi gambaran kepada teks. Gambar-gambar yang berwarna dapat menarik minat mereka untuk membaca. Mereka juga berminat dalam hal-hal yang berkaitan dengan binatang dan alam semula jadi.

3. umur 8-10 tahun

Pada peringkat ini, kanak-kanak telah pun mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya. Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi, bahan bacaan yang mengandungi cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai digunakan untuk mereka. Selain itu, pada umur ini kanak-kanak sudah mula untuk mempersoalkan mengapa jalan penceritaan buku-buku yang dibaca itu telah ditulis sedemikian. Oleh itu, bahan bacaan yang sesuai harus diambil kira.

4. umur 10-12 tahun

Pada peringkat ini, mereka telah mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan baharu.  Perkembangan tatabahasanya juga berkembang dengan cepat dan mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea-idea yang abstrak. Mereka juga berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat daripada buku. Mereka sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku mereka. Oleh itu, pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu menarik minat mereka.

            Di samping itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan sudah mula menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini, kanak-kanak perempuan lebih berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang, fantasi, dan sejarah manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah pengembaraan, cerita lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi, saintifik dan teknikal.

            Walaupun pembahagian peringkat kanak-kanak mengikut umur tidak begitu jelas dan menimbulkan perbezaan, orang-orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak perlu tahu serba sedikit tentangnya. Ini kerana setiap peringkat umur, kanak-kanak memerlukan bahan penerbitan yang berbeza dari segi persembahan dan bentuk bahannya.

Pemilihan bahan bacaan bagi pelajar sekolah menengah
1. Sesuai

Perkataan sesuai itu sendiri adalah membawa maksud bertepatan, di mana konsep sesuatu mata pelajaran boleh diikuti oleh pelajar. Tajuk dan juga keterangan berkaitan dengan mata pelajaran. Perbendaharaan kata dan bahasa yang digunakan boleh difahami oleh pelajar menepati seperti yang dikehendaki oleh kumpulan atau individu. Pemilihan bahan hendaklah mempunyai hubungan kesesuian dengan perkara-perkara seperti berikut :

a) objektif dan matlamat pengajaran bahasa
b) Pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran
c) Keadaan pelajar
d) Suasana pembelajaran
e) Minat pelajar

            Bahan pengajaran yang dipilih hendaklah sesuai dengan matlamat dan objektif pengajaran. Oleh itu, guru hendaklah menentukan objektif pengajaran terlebih dahulu sebelum memilih sesuatu bahan. Dengan objektif pengajaran yang tertentu, guru boleh memilih bahan-bahan yang sesuai dan dapat membantu kearah pencapaian objektif tersebut. Bahan yang dipilih juga hendaklah sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan juga bersesuaian dengan kebudayaan, adat resam, kepercayaan dan situasi tempatan.

            Guru juga sepatutnya mengambil kira keadaan pelajarnya yang datang daripada pelbagai latar belakang pengalaman sosial, pendidikan, ekonomi, taraf pencapaian dan sebagainya ketika menyediakan bahan. Bahan-bahan yang sesuai dengan segolongan pelajar, mungkin tidak sesuai dengan segolongan pelajar yang lain. Faktor lain adalah suasana pembelajaran, dimana bahan yang sesuai dengan suasana pembelajaran akan meninggalkan kesan yang baik. Elemen penting dalam suasana pembelajaran ialah pelajar, isi pelajaran, bahan dan guru. Dalam proses pembelajaran pula, rangsangan yang mengarah pada pemikiran dan seterusnya mewujudkan tingkah laku tertentu merupakan tiga konsep yang penting.

2. Mencabar

Terdapat tiga konsep penting yang perlu wujud dalam proses pembelajaran iaitu rangsangan, pemikiran dan tingkah laku. Oleh yang demikian, bahan-bahan yang dipilih dapat memberikan rangsangan untuk pelajar berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar.

             Satu strategi pemeringkatan bahan pembelajaran yang dapat mencabar pemikiran pelajar ialah bahan-bahan yang dipilih itu mesti terdiri daripada bahan-bahan yang mengandungi ciri-ciri berikut :

a) bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak.
b) Bahan yang mudah kepada yang kompleks.
c) Bahan yang mengandungi fakta terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu.
d) Bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif)
e) Bahan yang umum kepada yang khusus (deduktif)
f) Bahan yang umum kepada teori.
g) Bahan masakini kepada masa akan datang.


3. Menepati

Ketepatan bahan pengajaran dimaksudkan sebagai isi kandungan bahan pengajaran yang menepati kandungan kurikulum pengajaran. Bahan pengajaran yang dipilih mestilah menunjukkan perkaitan antara aspek kandungan bahasa, proses pembelajaran dan pengajaran. Ketepatan sesuatu bahan dengan kurikulum pengajaran bahasa adalah berdasarkan ciri-ciri yang berikut:

a) Isi kandungan sesuai dengan kemampuan dan kehendak pelajar.
b) Susunan bahan
c) Mengandungi maklumat atau fakta yang yang tepat.
d) Maklumat yang kemaskini
e) Perbendaharaan kata yang sesuai
f) Bahan pengajaran yang diperakui.

4. Menarik

a) Reka letak ; peta, lukisan, carta, jadual, graf, rajah, gambar atau kartun mestilah disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan. Ini akan memydahkan pelajar membuat rujukan atau memahami sesuatu konsep.
b) Saiz huruf cetak atau saiz huruf haruslah sesuai dengan peringkat umur pelajar.
c) Ilustrasi dan bahan grafik bukan sahaja menghiasi bahan pengajaran, tetapi berfungsi sebagai manifestasi visual sesuatu maklumat yang akan dapat menambah atau mengukuhkan pembacaan pemahaman.
d) Kualiti kulit dan cara buku dijilid
e) Bahan pengajaran mengandungi arahan yang jelas.

5. Praktikal

Bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharusnya praktikal sama ada kepada guru atau pelajar. Bahan pengajaran seharusnya sederhan dan mudah digunakan serta menggunakan bentuk bahasa yang yang berdasarkan situasi sebenar. Ini dapat membantu pelajar menggunakan bahasa dalam komunikasi. Selain itu, bahan tersebut seharusnya tahan lasak jika digunakan berulang-ulang kali dan sekiranya digunakan untuk lebih dari satu mata pelajaran dan juga sesuai pada masa dan mata pelajaran lain.




PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA

Terdapat berbagai-bagai kaedah dan teknik pengajaran bacaan yang telah kita pelajari dan boleh kita gunakan untuk membantu murid yang tidak dapat membaca dengan baik. Sebenarnya semua kaedah dan teknik itu boleh digunakan dengan berkesan Semuanya bergantung kepada cara kita merancang strategi pengajaran dan melaksanakannya ke atas murid berkenaan. Perkara terpenting adalah murid-murid ini perlu diajar menguasai kemahiran-kemahiran asas bacaan terlebih dahulu supaya pemerolehan kemahiran membaca mereka menjadi mantap. Kemahiran-kemahiran yang dikuasai ini kelak akan membantu mereka menguasai kemahiran bacaan seterusnya

            Pengajaran membaca kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan strategi yang pelbagai. Sebagi seorang guru , guru tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah dan teknik tertentu sahaja kerana kerana penerimaan seseorang kanak-kanak terhadap perkara yang diajar adalah berbeza antara satu sama lain. Terdapat beberapa kaedah mengajar bacaan dalam Bahasa Melayu yang sesuai dengan binaan perkataan Bahasa Melayu yang terbentuk melalui gabungan suku kata.


1. Kaedah Mengajar Bacaan

Keadah mengajar bacaan mempunyai beberapa kaedah iaitu:
1.      Kaedah abjad/huruf
2.       Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan
3.       Kaedah fonik/bunyi
4.       Kaedah Gabungan Bunyi-kata
5.      Kaedah VAK
6.      Kaedah pelbagai deria – VAKT
7.      Kaedah Fernald
8.      Kaedah Gillingham


Kaedah Abjad/huruf

Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak untuk dapat mengenal nama-nama abjad dari a – z.
            Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf  konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk  suku kata dan seterusnya perkataan.
Contoh:
 Memperkenalkan huruf - a - z
Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be, bi, bo, bu
Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu batu
Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.

Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.


Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan


Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, tetapi guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya. 

Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja.

Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r” iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ].


Kaedah Fonik atau bunyi

Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.

Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ].

[ b ] + [ a ] = [ ba ]
[ t ] + [ a ] = [ ta ]
[ ba ] + [ta ] = [ bata ]


Kaedah gabungan bunyi – kata
( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan )

Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory).

Contoh;

i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut.
ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
a
iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf.
iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf.
v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.
vi. Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf
(terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar).
vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu

Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih/tubi berikut;

i. Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan).
ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).

Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.


1.2 Kaedah Khas Pemulihan Bacaan

Terdapat segelintir kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang agak serius dan memerlukan kaedah bacaan khas untuk mengajar mereka. contohnya kanak-kanak Disleksia, kanak-kanak pemulihan, dan kanak-kanak berkeperluan khas (PKBP).
      kaedah bacaan yang akan dibincangkan dalam bahagian ini adalah seperti kaedah VAK, kaedah VAKT, kaedah Fernald, dan kaedah Gillingham, dan semua kaedah ini digolongkan sebagai pendekatan kinestetik.(Margaret, Lynne, Janet, 1989).


Kaedah VAK

Kaedah VAK menggabungkan deria penglihatan dan pendengaran dengan tulisan (kinestetik atau pergerakan). Dalam kaedah ini murid melihat dan menyebut perkataan sambil menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya. 
Kaedah VAK menggunakan prosedur pengajaran seperti berikut, iaitu pelajar :

i. memerhati perkataan yang hendak dipelajari
ii. menyebut perkataan itu
iii. cuba menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya, dan
iv. membandingkan hasil tulisan dengan perkataan asal

Prosedur VAK ini diulang-ulang sehingga perkatan dapat ditulis dengan betul.


Kaedah Membaca Pelbagai Deria - VAKT
(Multisensory Reading Method)

Kaedah ini dikenali sebagai kaedah VAKT yang bermaksud;

V - visual (penglihatan)
A – audio (pendengaran)
K - kinesthetic ( pergerakan )
T - tactile ( sentuhan)

Kaedah ini berpegang kepada prinsip “rangsangan” dalam pembelajaran dan berdiri atas Premis bahawa rangsangan ke atas beberapa deria yang sensitif akan mengukuhkan pembelajaran . Langkah-langkah pengajaran adalah sepeerti berikut:

- kaedah ini menggunakan surihan (tracing)’ untuk mengajar bacaan
- guru menulis huruf cetak yang besar di atas kertas 4” x 10”
( menggunakan krayon )
- Murid membuat surihan huruf dengan jari di atas kertas itu
- Untuk mendapatkan kesan sentuhan semasa membuat surihan, huruf dibuat daripada kertas pasir, menggunakan talam berpasir/lumpur, mewarna dengan jari, huruf timbul yang besar dan lain-lain.
- Untuk belajar huruf melalui kaedah VAKT, murid hendaklah ;

v. lihat huruf (V)
vi. dengar guru sebut huruf (A)
vii. menyebut huruf (A)
viii. dengar huruf yang disebut (A)
ix. rasa pergerakan otot semasa membuat surihan huruf (K)
x. rasa permukaan huruf dgn hujung jari (T)
xi. lihat pergerakan tangan semasa tracing (V)
xii. dengar sendiri huruf yang disebut semasa membuat
surihan (A)

Kaedah VAKT dijadikan asas kepada model-model pengajaran bacaan yang lebih perinci oleh tokoh-tokoh seperti Fernald, Gillingham, dan lain-lain.


Kaedah Fernald

Kaedah ini diperkenalkan oleh Fernald G.M. dan Helen, B.K.(1943, 1988) untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk. Kaedah ini merupakan gabungan pendekatan pengalaman bahasa dan pembelajaran berasaskan pendekatan pelbagai deria (VAKT). Pendekatan ini dibentuk untuk pengajaran secara individu.

Terdapat empat peringkat pengajaran dalam kaedah Fernald, iaitu:

i. Menyurih (tracing) dan menulis berdasarkan ingatan satu perkataan yang diberi,
ii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang diberi,
iii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang dijumpai dalam petikan, dan
iv. Belajar melalui perkataan asas (sight words) yang terdapat dalam teks.


Peringkat pengajaran dalam kaedeah Fernald adalah seperti berikut:

Peringkat 1:

- Guru menulis perkataan dengan besar menggunakan crayon di atas kertas. 
- Pelajar surih huruf-huruf dengan jari (T – K) sambil menyebut dan mendengar sebutan perkataan itu (A).
- Pelajar juga memandang perkataan itu semasa membuat surihan(V) .
- Proses ini diulang sehingga pelajar boleh menulis perkataan tanpa melihat contoh.
- Pelajar menulis cerita berdasarkan perkataan yang telah dipelajari.

Peringkat 2:

- Pelajar tidak perlu surih setiap perkataan, tetapi hanya melihat perkataan yang guru tulis, menyebut, dan menulis perkataan tersebut.
- Pelajar meneruskan menulis cerita dan menyimpan fail perkataan.

Peringkat 3:

- Pelajar belajar perkataan baru dengan melihat, menyebut, dan menulisnya terus daripada perkataan-perkataan bercetak (teks).
- Guru tidak perlu menulis perkataan kerana pada tahap ini pelajar sudah boleh membaca daripada buku.


Peringkat 4:

- Pelajar dapat mengecam perkataan-perkataan baru berdasarkan persamaannya dengan perkataan-perkataan yang tercetak, atau bahagian-bahagian perkataan yang sudah dipelajari.
- Pelajar sudah boleh menggunakan kemahiran bacaan untuk mengembangkan minat membaca.


Kesimpulannya, kaedah Fernald menggunakan pengalaman bahasa pelajar dan kaedah VAKT.

Kaedah Fernald mempunyai prinsip tertentu yang perlu dipatuhi, iaitu:

i. kejayaan hendaklah ditekankan supaya motivasi pelajar dapat ditingkatkan atau dikekalkan,
ii. keempat-empat peringkat perlu dikuasai mengikut urutan,dan
iii. hanya diguna untuk pelajar yang menghadapi masalah bacaan yang teruk sahaja seperti disleksia, murid pemulihan, dan murid PKBP.



Kaedah Gillingham

Kaedah ini diperkenalkan oleh Gillingham dan Stillman pada tahun 1970 AN difokuskan untuk mengajar bacaan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah bacaan yang sangat teruk. Kaedah ini mengambil masa yang lama dan langkah-langkah pengajaran hendaklah dipatuhi dengan ketat, iaitu memerlukan lima sesi pengajaran seminggu untuk selama dua tahun (minimum)

      Kaedah Gillingham menumpukan penstrukturan pengajaran yang tinggi dan berorientasikan pendekatan fonetik yang menggunakan teknik surihan (tracing) untuk mengajar huruf tunggal dan bunyi yang bersamaan dengannnya.


      Kaedah Gillingham menekankan pendekatan pelbagai deria yang terdiri daripada enam kesatuan deria yang sangat penting pada peringkat permulaan mengajar huruf –huruf. Enam kesatuan asas itu adalah:

i. V-A (Visual-Auditory). Perkataan yang ditulis dan huruf-huruf dihubungkan denga bunyinya. Murid tidak perlu menyebut bunyi-bunyi itu.
ii. A-V (Auditory-Visual). Bunuyi-bunyi huruf dan perkataan digabungkan dengan imej visual. Tugasan ini seakan-akan aktiviti mengeja.
iii. A-K (Auditory – Kinesthetic). Bunyi-bunyi huruf danperkataan digabungkan dengan pergerakan otot semasa menyebut dan menulis.
iv. K-A (Kinesthetic – Auditory). Tangan murid didibantu untuk menyurih atau menulis bentuk huruf sambil menyebut nama atau bunyi huruf tersebut.
v. V-K (Visual – Kinesthetic). Huruf cetak dan perkataan dikaitkan dengan pergerakan otot semasa bertutur dan menulis.
vi. K-V (Kinesthetic- Visual). Pergerakan otot semasa bertutur atau menulis dikaitkan dengan bentuk visual huruf-huruf.


Langkah-langkah pengajaran ialah;

Langkah 1:

- Dgn menggunakan kad latih tubi, tunjuk satu huruf kepada murid.
- Guru menyebut nama huruf dan murid mengikut sebutan guru
- Bila sudah mahir, guru menyebut bunyi huruf dan murid mengikutnya
- Soalan guru , “Apakah bunyi huruf ini?”

Langkah 2:

- Tanpa menggunakan kad latih tubi, guru membunyikan mengikut huruf. 
- Soalan guru, “Berikan nama huruf yang bunyinya [ č ] . Guru menggunakan strategi ejaan lisan

Langkah 3:

- Guru menulis huruf dan menerangkan bentuknya.
- Murid menyurih ikut tulisan guru, dengar, pandang, dan membunyikan huruf itu.
- guru mula memperkenalkan tulisan sambung.


Setelah murid mahir 10 huruf (konsonan dan vokal), mereka mengadun huruf- 
huruf menjadi perkataan.

Tuesday 9 April 2013

Jom kawan-kawan kita membaca bersama-sama. Hanya dengan membaca sahaja kita dapat menambah ilmu. Hanya dengan membaca kita dapat terokai satu dunia. Kuasa membaca tiada batasan. Ingat tu kawan-kawan. Rajin-rajinlah membaca macam Upin Ipin dan kawan-kawannya. Em betul betul betul!!!