MASALAH DALAM MEMBACA
1. Jenis
Masalah Bacaan
salah satu masalah bacaan dapat dilihat melalui
aktiviti bacaan nyaring, dan aktiviti bacaan senyap hanya dapat dilihat melalui
aspek bacaan kefahaman.
Masalah bacaan yang dihadapi adalah seperti
berikut:
i)
membuang atau meninggalkan (omission)
salah satu perkara yang akan terjadi ialah bunyi
huruf, perkataan, dan imbuhan ditinggalkan semasa membaca. Contohnya perkataan ”buah” akan disebut
’uah”, perkataan ”kering” pula akan disebut ”kerin”. Perkataan dalam ayat juga
kerap ditinggalkan semasa membaca, seperti;
”Buku itu sangat tebal. ” dibaca sebagai “Buku
itu tebal”. Perkataan “sangat” telah ditinggalkan dalam ayat ini.
Manakala meninggalkan imbuhan adalah seperti
”mengandungi” disebut ”mengandung” dan
ii) pengulangan
(repetition)
Mengulang-ulang sesebuah perkataan atau suku
kata semasa membaca dan perbuatan mengulang ini bukan disebabkan oleh masalah
gagap. Hal ini akan menyebabkan berlakunya masalah bacaan.
iii)
Gantian (substitute)
Menggantikan huruf atau perkataan dalam ayat
yang dibaca, misalnya ”ladang” disebut ”lalang”. Manakala terdapat perkataan
yang digantikan dengan perkataan lain sehingga boleh mengubah maksud ayat. Berlakunya
penggantian perkataan dalam sesebuah ayat. Hal ini disebabkan sering kali
pembaca tertukar abjad dalam sesebuah perkataan. Contohnya huruf “d” dan “p”. Dalam
perkataan “dada” kadang-kadang pembaca tertukar dengan membunyikannya sebagai “pada”.
iv)
Tambahan (insertion)
Bunyi huruf atau perkataan ditambah semasa
membaca, misalnya “buah” disebut “buwah”. Ataupun semasa menyebut perkataan “gua” terdapat
penambahan perkataan iaitu “guwa” .Manakala penambahan perkataan berlaku
seperti “Saya suka makan rojak.” dibaca sebagai
” Saya sangat suka makan rojak.” Terdapat
juga berlaku penambahan perkataan seperti “saya mencintai teman lelaki saya”
dibacakan sebagai “saya amat mencintai teman lelaki saya”.
v)
Pembalikan (reversals)
dalam hal ini apa yang berlaku adalah huruf,
perkataan, atau frasa dibaca secara terbalik atau songsang. Contohnya
”Bala” disebut ”laba” ataupun seperti
perkataan “usus” disebut “susu”. Manakala pembalikan perkataan dalam ayat
berlaku apabila perkataan diubah kedudukannya, contoh: ”Dia makan nasi” dibaca
sebagai ” Dia nasi makan” ataupun “Dia minum air” disebut sebagai “Dia air
minum”. Begitu juga dengan pembalikan frasa.
iv) Tidak
kenal huruf
Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama
kebanyakan pembaca gagal membaca dengan baik. Keadaan ini pembaca akan menyebut
sesuatu huruf sesuka hati atau dengan meneka sahaja dan menjadikan perkataan itu tidak bermakna atau berlainan
makna. Contohnya huruf “b” seringkali ditukarkan
dengan huruf “d”.
v) Salah sebutan
Salah sebutan terjadi akibat tidak mengenal
huruf atau tidak tahu membunyikan sesuatu
huruf sehingga sesuatu perkataan tidak
bermakna lagi dalam konteks ayat berkenaan.
Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna
perkataan atau ayat yang dibaca dan perlu diberi perhatian untuk mengatasinya.
2. Masalah-masalah
dalam Memahami Bahan Bacaan
Selain masalah bacaan nyaring, masalah memahami
apa yang dibaca atau pemahaman dalam bahan bacaan juga salah satun masalahnya.
Antara masalah dalam kefahaman bacaan adalah:
i) Pertama adalah gagal memahami maksud
perkataan dan frasa yang berkaitan dengan
waktu seperti selepas, sudah, sebelum, pagi, petang,
tengahari, malam, siang , sekejap, dan sebagainya.
ii) Kedua adalah tidak memahami maksud perkataan
dalam pelbagai situasi, kadang-kadang maksud dalam sesebuah ayat mempunyai
maksud tersirat dan tersurat. Misalnya dalam ayat “Panjatlah lagi pokok itu.”
yang bermaksud melarang seseorang daripada memanjat pokok. Jika pembaca tidak
memahami maksud tersirat dalam ayat tersebut maka mbaca akan memanjat pokok
tersebut, tetapi jika pembaca itu memahami maksud tersirat ayat tersebut
pembaca tidak akan memanjat pokok tersebut kerana telah dialarang melalui
maksud tersirat dalam ayat itu.
iii) Ketiga ialah gagal memahami atau membuat
urutan idea atau peristiwa yang terdapat dalam bahan bacaan terutamanya apabila
diminta menceritakan semula petikan yang dibaca. Urutan sesebuah cerita dalam
bahan bacaan amat penting bagi menceritakan jalan penceritaan dalam sesebuah cerita itu.
iv) Keempat ialah lambat memberi tindak balas
terutamanya apabila tidak memahami arahan yang dibaca. Apabila membaca respon
haruslah diberikan sebagai tanda memahami atau tidak memahami bahan bacaan
tersebut.
v) Kelima ialah gagal menghubungkan sebab dan
akibat dalam bahan bacaan yang dibaca. Segala bahan bacaan mempunyai sebab dan
akibat ataupun topik yang dibincangkan dalam bahan bacaan tersebut.
vi) Keenam ialah tidak dapat mengenal pasti perkara yang tidak
munasabah (absurdities) dalam bahan yang dibaca. Dalam sesebuah bahan bacaan
itu, jika pembaca tidak dapat mengenal pasti perkara yang tidak munasabah makan
akan berlaku satu masalah dalam membaca bahan bacaan tersebut.
vii) Ketujuh ialah tidak dapat mentafsir atau
menggunakan carta, graf, peta, rajah, dan sebagainya dalam buku. Bahan bacaan
yang telah dibaca haruslah dapat ditafsirkan atau dicerikan dalam pelbagai
bentuk untuk menunjukkan pembaca telah memahami bahan bacaan tersebut. Jika pembaca
tidak dapat mentafsirkan bahan bacan tersebut, hal ini menunjukkan bahawa
pembaca tidak memahami bahan bacaan itu dan menghadapi masalah dalam membaca.
PEMILIHAN BAHAN BACAAN
Bacaan Sebelum
membaca sesebuah bahan bacaan , terdapat beberapa kriteria perlu diambil
sebelum memulakan pembacaan tersebut. Tujuan pemilihan bahan bacaan amat
penting dan hendaklah sesuai dan boleh diterima oleh beberapa peringkat umur. Setiap
bahan bacaan mempunyai kosa kata bahan bacaan yang berbeza.
Bahan bacaan boleh di bahagikan
kepad dua jenis iaitu bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan
fiksyen biasanya dibaca semasa ada masa lapang dan bahan ini digolongkan dalam
pembacaan ringan. Manakala bahan bacaan bukan
fiksyen merupakan bahan bacaan ilmiah yang mementingkan maklumat terkandung
dalam bahan bacaan.
Bahan fiksyen:
Cerita rakyat
Dongeng
Cerpen
Novel
Lagenda
Bahan bacaan bukan
fiksyen ialah:
Buku mengenai falsafah
Ensiklopedia
keagamaan
Sains kemasyarakatan
Bahasa
Sains dan Teknologi
Seni
Sastera
Geografi dan ilmu
alam sekitar
Sejarah
Pengetahuan am
Saban hari, masyarakat kini hanya
mementingkan bahan bacaan yang bersifat keseronokan apabila membuat pemilihan
bahan bacaan. Hal ini sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh fahaman Hedonisme
yang digagaskan oleh Epicurus di mana falsafah hidup bertujuan untuk mencapai
suatu keseronokan. Justeru itu, guru-guru hendaklah mengambil berat tentang
pemilihan bahan bacaan pelajar.
Bagi kanak-kanak
terdapat beberapa tahap umur untuk dilihat dalam pemilihan bahan bacaan iaitu:
1. umur 0-6 tahun (peringkat pra-sekolah)
Kanak-kanak pada
peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kreatif dan kritis untuk
memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang
kenyataan adalah sangat sederhana.
Bahan bacaan atau Buku-buku untuk
peringkat umur ini harus mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah
yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan
dengan dunia sehariannya agar dapat membantu mereka memahami dan
menginterpretasikan dunia sekelilingnya. Selain itu, buku tersebut haarus
mempunyai banyak gambar untuk menarik minta mereka untuk membaca.
2. umur 6-8 tahun
Kanak-kanak yang
berada pada peringkat umur ini mempunyai sifat ingin tahu dan mereka juga sudah
mula mengerti serba sedikit apa-apa yang dibicarakan oleh orang dewasa. Kanak-kanak selalunya telah bersedia untuk
membaca jika tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan dalam buku, akhbar atau
kertas.
Pada peringkat ini, mereka mungkin
sudah boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar
juga masih sesuai untuk mereka kerana gambar-gambar yang terdapat dalam buku
boleh memberi gambaran kepada teks. Gambar-gambar yang berwarna dapat menarik
minat mereka untuk membaca. Mereka juga berminat dalam hal-hal yang berkaitan
dengan binatang dan alam semula jadi.
3. umur 8-10 tahun
Pada peringkat ini,
kanak-kanak telah pun mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan
mereka seronok dengannya. Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi
keperluannya ketika berimaginasi, bahan bacaan yang mengandungi cerita dongeng
dan cerita rakyat amat sesuai digunakan untuk mereka. Selain itu, pada umur ini
kanak-kanak sudah mula untuk mempersoalkan mengapa jalan penceritaan buku-buku
yang dibaca itu telah ditulis sedemikian. Oleh itu, bahan bacaan yang sesuai
harus diambil kira.
4. umur 10-12 tahun
Pada peringkat ini,
mereka telah mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia
untuk menerima pengetahuan baharu.
Perkembangan tatabahasanya juga berkembang dengan cepat dan mempunyai
kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea-idea yang abstrak. Mereka juga
berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat daripada buku. Mereka sudah mampu
mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku mereka. Oleh itu, pada
peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu menarik
minat mereka.
Di samping itu, kanak-kanak lelaki
dan perempuan sudah mula menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini,
kanak-kanak perempuan lebih berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang,
fantasi, dan sejarah manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah
pengembaraan, cerita lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi,
saintifik dan teknikal.
Walaupun pembahagian peringkat
kanak-kanak mengikut umur tidak begitu jelas dan menimbulkan perbezaan,
orang-orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak perlu tahu serba sedikit
tentangnya. Ini kerana setiap peringkat umur, kanak-kanak memerlukan bahan penerbitan
yang berbeza dari segi persembahan dan bentuk bahannya.
Pemilihan bahan bacaan bagi pelajar sekolah
menengah
1. Sesuai
Perkataan sesuai itu
sendiri adalah membawa maksud bertepatan, di mana konsep sesuatu mata pelajaran
boleh diikuti oleh pelajar. Tajuk dan juga keterangan berkaitan dengan mata
pelajaran. Perbendaharaan kata dan bahasa yang digunakan boleh difahami oleh
pelajar menepati seperti yang dikehendaki oleh kumpulan atau individu.
Pemilihan bahan hendaklah mempunyai hubungan kesesuian dengan perkara-perkara
seperti berikut :
a) objektif dan
matlamat pengajaran bahasa
b) Pendekatan, kaedah
dan teknik pengajaran
c) Keadaan pelajar
d) Suasana
pembelajaran
e) Minat pelajar
Bahan pengajaran yang dipilih
hendaklah sesuai dengan matlamat dan objektif pengajaran. Oleh itu, guru
hendaklah menentukan objektif pengajaran terlebih dahulu sebelum memilih
sesuatu bahan. Dengan objektif pengajaran yang tertentu, guru boleh memilih
bahan-bahan yang sesuai dan dapat membantu kearah pencapaian objektif tersebut.
Bahan yang dipilih juga hendaklah sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan
Negara dan juga bersesuaian dengan kebudayaan, adat resam, kepercayaan dan
situasi tempatan.
Guru juga sepatutnya
mengambil kira keadaan pelajarnya yang datang daripada pelbagai latar belakang
pengalaman sosial, pendidikan, ekonomi, taraf pencapaian dan sebagainya ketika
menyediakan bahan. Bahan-bahan yang sesuai dengan segolongan pelajar, mungkin
tidak sesuai dengan segolongan pelajar yang lain. Faktor lain adalah suasana
pembelajaran, dimana bahan yang sesuai dengan suasana pembelajaran akan
meninggalkan kesan yang baik. Elemen penting dalam suasana pembelajaran ialah
pelajar, isi pelajaran, bahan dan guru. Dalam proses pembelajaran pula,
rangsangan yang mengarah pada pemikiran dan seterusnya mewujudkan tingkah laku
tertentu merupakan tiga konsep yang penting.
2. Mencabar
Terdapat tiga konsep
penting yang perlu wujud dalam proses pembelajaran iaitu rangsangan, pemikiran
dan tingkah laku. Oleh yang demikian, bahan-bahan yang dipilih dapat memberikan
rangsangan untuk pelajar berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar.
Satu strategi
pemeringkatan bahan pembelajaran yang dapat mencabar pemikiran pelajar ialah
bahan-bahan yang dipilih itu mesti terdiri daripada bahan-bahan yang
mengandungi ciri-ciri berikut :
a) bahan yang konkrit
kepada bahan yang abstrak.
b) Bahan yang mudah
kepada yang kompleks.
c) Bahan yang
mengandungi fakta terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu.
d) Bahan yang khusus
kepada bahan yang umum (induktif)
e) Bahan yang umum
kepada yang khusus (deduktif)
f) Bahan yang umum
kepada teori.
g) Bahan masakini
kepada masa akan datang.
3. Menepati
Ketepatan bahan
pengajaran dimaksudkan sebagai isi kandungan bahan pengajaran yang menepati
kandungan kurikulum pengajaran. Bahan pengajaran yang dipilih mestilah
menunjukkan perkaitan antara aspek kandungan bahasa, proses pembelajaran dan
pengajaran. Ketepatan sesuatu bahan dengan kurikulum pengajaran bahasa adalah
berdasarkan ciri-ciri yang berikut:
a) Isi kandungan
sesuai dengan kemampuan dan kehendak pelajar.
b) Susunan bahan
c) Mengandungi
maklumat atau fakta yang yang tepat.
d) Maklumat yang
kemaskini
e) Perbendaharaan
kata yang sesuai
f) Bahan pengajaran
yang diperakui.
4. Menarik
a) Reka letak ; peta,
lukisan, carta, jadual, graf, rajah, gambar atau kartun mestilah disusun
berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan. Ini akan memydahkan pelajar
membuat rujukan atau memahami sesuatu konsep.
b) Saiz huruf cetak
atau saiz huruf haruslah sesuai dengan peringkat umur pelajar.
c) Ilustrasi dan
bahan grafik bukan sahaja menghiasi bahan pengajaran, tetapi berfungsi sebagai
manifestasi visual sesuatu maklumat yang akan dapat menambah atau mengukuhkan
pembacaan pemahaman.
d) Kualiti kulit dan
cara buku dijilid
e) Bahan pengajaran
mengandungi arahan yang jelas.
5. Praktikal
Bahan yang digunakan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharusnya praktikal sama ada kepada
guru atau pelajar. Bahan pengajaran seharusnya sederhan dan mudah digunakan
serta menggunakan bentuk bahasa yang yang berdasarkan situasi sebenar. Ini
dapat membantu pelajar menggunakan bahasa dalam komunikasi. Selain itu, bahan
tersebut seharusnya tahan lasak jika digunakan berulang-ulang kali dan
sekiranya digunakan untuk lebih dari satu mata pelajaran dan juga sesuai pada
masa dan mata pelajaran lain.
PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA
Terdapat berbagai-bagai kaedah dan teknik
pengajaran bacaan yang telah kita pelajari dan boleh kita gunakan untuk membantu
murid yang tidak dapat membaca dengan baik. Sebenarnya semua kaedah dan teknik
itu boleh digunakan dengan berkesan Semuanya bergantung kepada cara kita
merancang strategi pengajaran dan melaksanakannya ke atas murid berkenaan.
Perkara terpenting adalah murid-murid ini perlu diajar menguasai
kemahiran-kemahiran asas bacaan terlebih dahulu supaya pemerolehan kemahiran
membaca mereka menjadi mantap. Kemahiran-kemahiran yang dikuasai ini kelak akan
membantu mereka menguasai kemahiran bacaan seterusnya
Pengajaran
membaca kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan
strategi yang pelbagai. Sebagi seorang guru , guru tidak boleh hanya bergantung
kepada kaedah dan teknik tertentu sahaja kerana kerana penerimaan seseorang
kanak-kanak terhadap perkara yang diajar adalah berbeza antara satu sama lain.
Terdapat beberapa kaedah mengajar bacaan dalam Bahasa Melayu yang sesuai dengan
binaan perkataan Bahasa Melayu yang terbentuk melalui gabungan suku kata.
1. Kaedah
Mengajar Bacaan
Keadah mengajar bacaan mempunyai beberapa kaedah
iaitu:
1.
Kaedah
abjad/huruf
2.
Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan
3.
Kaedah fonik/bunyi
4.
Kaedah Gabungan Bunyi-kata
5.
Kaedah
VAK
6.
Kaedah
pelbagai deria – VAKT
7.
Kaedah
Fernald
8.
Kaedah
Gillingham
Kaedah
Abjad/huruf
Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa
digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan
kanak-kanak untuk dapat mengenal nama-nama abjad dari a – z.
Selepas itu
kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi
huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini
digabungkan bagi membentuk suku kata dan
seterusnya perkataan.
Contoh:
Memperkenalkan huruf -
a - z
Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be,
bi, bo, bu
Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu
batu
Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat
mudah.
Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan
binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap
bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan
baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh
dalam membaca.
Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh
Perkataan
Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan
dalam bahasa Inggeris, tetapi guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar
membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah
berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang
membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak,
bapa dan sebagainya.
Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan
dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut
disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang
(visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja.
Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan
tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan
satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan
tersebut. Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan
menyebut bunyi huruf ”r” iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru
].
Kaedah
Fonik atau bunyi
Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar
bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan
bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk
Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.
Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang
diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan
seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja
tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku
kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ]
dan seterusnya disebut sebagai [ bata ].
[ b ] + [ a ] = [ ba ]
[ t ] + [ a ] = [ ta ]
[ ba ] + [ta ] = [ bata ]
Kaedah gabungan bunyi – kata
( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan )
Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak
Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan
bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu
membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu
berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory).
Contoh;
i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan
gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut.
ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
a
iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan
bunyi huruf.
iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian
menyebut nama huruf.
v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama
huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada
tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.
vi. Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu
membunyikan huruf
(terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi
yang boleh didengar).
vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup
untuk dapat merasakan huruf itu
Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi,
dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih/tubi berikut;
i. Murid melihat semula kad imbasan dan
membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan).
ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara
rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).
Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf
hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf
adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar
huruf dan bunyi vokal pula.
1.2 Kaedah
Khas Pemulihan Bacaan
Terdapat segelintir kanak-kanak yang mengalami
masalah bacaan yang agak serius dan memerlukan kaedah bacaan khas untuk
mengajar mereka. contohnya kanak-kanak Disleksia, kanak-kanak pemulihan, dan
kanak-kanak berkeperluan khas (PKBP).
kaedah bacaan yang
akan dibincangkan dalam bahagian ini adalah seperti kaedah VAK, kaedah VAKT,
kaedah Fernald, dan kaedah Gillingham, dan semua kaedah ini digolongkan sebagai
pendekatan kinestetik.(Margaret, Lynne, Janet, 1989).
Kaedah
VAK
Kaedah VAK menggabungkan deria penglihatan dan
pendengaran dengan tulisan (kinestetik atau pergerakan). Dalam kaedah ini murid
melihat dan menyebut perkataan sambil menulis perkataan itu berdasarkan
ingatannya.
Kaedah VAK menggunakan prosedur pengajaran
seperti berikut, iaitu pelajar :
i. memerhati perkataan yang hendak dipelajari
ii. menyebut perkataan itu
iii. cuba menulis perkataan itu berdasarkan
ingatannya, dan
iv. membandingkan hasil tulisan dengan perkataan
asal
Prosedur VAK ini diulang-ulang sehingga perkatan
dapat ditulis dengan betul.
Kaedah
Membaca Pelbagai Deria - VAKT
(Multisensory Reading Method)
Kaedah ini dikenali sebagai kaedah VAKT yang
bermaksud;
V - visual (penglihatan)
A – audio (pendengaran)
K - kinesthetic ( pergerakan )
T - tactile ( sentuhan)
Kaedah ini berpegang kepada prinsip “rangsangan”
dalam pembelajaran dan berdiri atas Premis bahawa rangsangan ke atas beberapa
deria yang sensitif akan mengukuhkan pembelajaran . Langkah-langkah pengajaran
adalah sepeerti berikut:
- kaedah ini menggunakan surihan (tracing)’
untuk mengajar bacaan
- guru menulis huruf cetak yang besar di atas
kertas 4” x 10”
( menggunakan krayon )
- Murid membuat surihan huruf dengan jari di
atas kertas itu
- Untuk mendapatkan kesan sentuhan semasa
membuat surihan, huruf dibuat daripada kertas pasir, menggunakan talam
berpasir/lumpur, mewarna dengan jari, huruf timbul yang besar dan lain-lain.
- Untuk belajar huruf melalui kaedah VAKT, murid
hendaklah ;
v. lihat huruf (V)
vi. dengar guru sebut huruf (A)
vii. menyebut huruf (A)
viii. dengar huruf yang disebut (A)
ix. rasa pergerakan otot semasa membuat surihan
huruf (K)
x. rasa permukaan huruf dgn hujung jari (T)
xi. lihat pergerakan tangan semasa tracing (V)
xii. dengar sendiri huruf yang disebut semasa
membuat
surihan (A)
Kaedah VAKT dijadikan asas kepada model-model
pengajaran bacaan yang lebih perinci oleh tokoh-tokoh seperti Fernald,
Gillingham, dan lain-lain.
Kaedah
Fernald
Kaedah ini diperkenalkan oleh Fernald G.M. dan
Helen, B.K.(1943, 1988) untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah
bacaan yang teruk. Kaedah ini merupakan gabungan pendekatan pengalaman bahasa
dan pembelajaran berasaskan pendekatan pelbagai deria (VAKT). Pendekatan ini
dibentuk untuk pengajaran secara individu.
Terdapat empat peringkat pengajaran dalam kaedah
Fernald, iaitu:
i. Menyurih (tracing) dan menulis berdasarkan
ingatan satu perkataan yang diberi,
ii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang
diberi,
iii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang
dijumpai dalam petikan, dan
iv. Belajar melalui perkataan asas (sight words)
yang terdapat dalam teks.
Peringkat pengajaran dalam kaedeah Fernald
adalah seperti berikut:
Peringkat 1:
- Guru menulis perkataan dengan besar
menggunakan crayon di atas kertas.
- Pelajar surih huruf-huruf dengan jari (T – K)
sambil menyebut dan mendengar sebutan perkataan itu (A).
- Pelajar juga memandang perkataan itu semasa
membuat surihan(V) .
- Proses ini diulang sehingga pelajar boleh
menulis perkataan tanpa melihat contoh.
- Pelajar menulis cerita berdasarkan perkataan
yang telah dipelajari.
Peringkat 2:
- Pelajar tidak perlu surih setiap perkataan,
tetapi hanya melihat perkataan yang guru tulis, menyebut, dan menulis perkataan
tersebut.
- Pelajar meneruskan menulis cerita dan
menyimpan fail perkataan.
Peringkat 3:
- Pelajar belajar perkataan baru dengan melihat,
menyebut, dan menulisnya terus daripada perkataan-perkataan bercetak (teks).
- Guru tidak perlu menulis perkataan kerana pada
tahap ini pelajar sudah boleh membaca daripada buku.
Peringkat 4:
- Pelajar dapat mengecam perkataan-perkataan
baru berdasarkan persamaannya dengan perkataan-perkataan yang tercetak, atau
bahagian-bahagian perkataan yang sudah dipelajari.
- Pelajar sudah boleh menggunakan kemahiran
bacaan untuk mengembangkan minat membaca.
Kesimpulannya, kaedah Fernald menggunakan
pengalaman bahasa pelajar dan kaedah VAKT.
Kaedah Fernald mempunyai prinsip tertentu yang
perlu dipatuhi, iaitu:
i. kejayaan hendaklah ditekankan supaya motivasi
pelajar dapat ditingkatkan atau dikekalkan,
ii. keempat-empat peringkat perlu dikuasai
mengikut urutan,dan
iii. hanya diguna untuk pelajar yang menghadapi
masalah bacaan yang teruk sahaja seperti disleksia, murid pemulihan, dan murid
PKBP.
Kaedah
Gillingham
Kaedah ini diperkenalkan oleh Gillingham dan
Stillman pada tahun 1970 AN difokuskan untuk mengajar bacaan kepada kanak-kanak
yang menghadapi masalah bacaan yang sangat teruk. Kaedah ini mengambil masa
yang lama dan langkah-langkah pengajaran hendaklah dipatuhi dengan ketat, iaitu
memerlukan lima sesi pengajaran seminggu untuk selama dua tahun (minimum)
Kaedah
Gillingham menumpukan penstrukturan pengajaran yang tinggi dan berorientasikan
pendekatan fonetik yang menggunakan teknik surihan (tracing) untuk mengajar
huruf tunggal dan bunyi yang bersamaan dengannnya.
Kaedah
Gillingham menekankan pendekatan pelbagai deria yang terdiri daripada enam
kesatuan deria yang sangat penting pada peringkat permulaan mengajar huruf
–huruf. Enam kesatuan asas itu adalah:
i. V-A (Visual-Auditory). Perkataan yang ditulis
dan huruf-huruf dihubungkan denga bunyinya. Murid tidak perlu menyebut
bunyi-bunyi itu.
ii. A-V (Auditory-Visual). Bunuyi-bunyi huruf
dan perkataan digabungkan dengan imej visual. Tugasan ini seakan-akan aktiviti
mengeja.
iii. A-K (Auditory – Kinesthetic). Bunyi-bunyi
huruf danperkataan digabungkan dengan pergerakan otot semasa menyebut dan
menulis.
iv. K-A (Kinesthetic – Auditory). Tangan murid
didibantu untuk menyurih atau menulis bentuk huruf sambil menyebut nama atau
bunyi huruf tersebut.
v. V-K (Visual – Kinesthetic). Huruf cetak dan
perkataan dikaitkan dengan pergerakan otot semasa bertutur dan menulis.
vi. K-V (Kinesthetic- Visual). Pergerakan otot
semasa bertutur atau menulis dikaitkan dengan bentuk visual huruf-huruf.
Langkah-langkah pengajaran ialah;
Langkah 1:
- Dgn menggunakan kad latih tubi, tunjuk satu
huruf kepada murid.
- Guru menyebut nama huruf dan murid mengikut sebutan
guru
- Bila sudah mahir, guru menyebut bunyi huruf
dan murid mengikutnya
- Soalan guru , “Apakah bunyi huruf ini?”
Langkah 2:
- Tanpa menggunakan kad latih tubi, guru
membunyikan mengikut huruf.
- Soalan guru, “Berikan nama huruf yang bunyinya
[ č ] . Guru menggunakan strategi ejaan lisan
Langkah 3:
- Guru menulis huruf dan menerangkan bentuknya.
- Murid menyurih ikut tulisan guru, dengar,
pandang, dan membunyikan huruf itu.
- guru mula memperkenalkan tulisan sambung.
Setelah murid mahir 10 huruf (konsonan dan
vokal), mereka mengadun huruf-
huruf menjadi perkataan.